Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Kualiti pendidikan tinggi negara kini berada pada tahap yang baik dan hal itu terbukti apabila semua universiti penyelidikan tempatan berada dalam kelompok 40 terbaik di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, penarafan dibuat organisasi penarafan universiti antarabangsa itu berdasarkan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi.

Katanya, antara perkara yang dinilai termasuk aspek penghasilan jurnal berimpak tinggi, penyelidikan, reputasi akademik dan kebolehpasaran graduan.

“Saban tahun universiti di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dan kebanyakannya memperbaiki kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

“Penarafan universiti dunia penting supaya kita boleh melihat sejauh mana pencapaian institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam aspek yang dinilai berbanding negara lain di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kepentingan penarafan universiti dunia terhadap pendidikan tinggi tempatan.

Selain Universiti Malaya yang berada dalam kelompok 10 terbaik iaitu di tempat kelapan, empat lagi universiti penyelidikan tempatan berada dalam kelompok 40 terbaik di Asia.

Universiti Putra Malaysia di kedudukan ke-27, Universiti Kebangsaan Malaysia di tangga ke-33, Universiti Sains Malaysia (ke-35) dan Universiti Teknologi Malaysia ke-38 terbaik di Asia dalam penarafan dikeluarkan Quacquarelli-Symonds (QS) : Asia (QS-AUR) 2022, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, selaku agensi yang dipertanggungjawabkan menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi di negara ini, MQA komited untuk terus melonjakkan imej pendidikan tinggi Malaysia.

Jelasnya, menerusi inisiatif MQA Global, pihaknya mengadakan banyak kerjasama dan memorandum persefahaman dengan agensi akreditasi luar negara bagi melonjakkan nama Malaysia dalam arena pendidikan tinggi.

“Semua usaha yang dijalankan bagi memastikan Malaysia kekal berada pada landasan yang betul untuk menjadi hab pendidikan tinggi global selari dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad,” katanya. – MalaysiaGazette