Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam melancarkan tiga lagi saluran bayaran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam Simpan SSPN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam melancarkan tiga lagi saluran bayaran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam Simpan SSPN.

Kemudahan saluran bayaran dalam talian itu selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik.

Sempena pelancaran saluran bayaran baharu itu, PTPTN dengan kerjasama AnsaraPay, PayHalal dan ShopeePay turut menganjurkan kempen Click, Pay & Earn is Back! kepada semua pelanggan PTPTN.

Dengan konsep siapa cepat dia dapat, pengguna terawal yang menggunakan saluran bayaran untuk bayaran balik pinjaman PTPTN atau simpanan melalui Simpan SSPN berpeluang mendapat pulangan menarik yang ditawarkan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen berkenaan bermula  11 November 2021 sehingga 11 Januari 2022.

Pelancaran saluran bayaran baharu PTPTN dan kempen Click, Pay & Earn is Back! telah disempurnakan oleh  Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid didi Menara PTPTN.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi AnsaraPay, Datuk Khushairi Wahijan, Pengurus Negara PayHalal, Azizul Fikri Ab Rahman dan Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee.

Ahmad Dasuki berkata, bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai, PTPTN sentiasa komited dan proaktif untuk memastikan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (End to End) terus diperkasa dengan mempelbagaikan kemudahan bayaran secara dalam talian di samping menyediakan kempen menarik bagi menggalakkan masyarakat menggunakan saluran berkenaan.

Sementara itu, menurut Khushairi, kerjasama strategik antara PTPTN dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM SeMalaysia (Ansara) dalam menyediakan platform digital sebagai pemudah cara untuk membantu peminjam PTPTN dan pendeposit Simpan SSPN membuat pembayaran secara dalam talian melalui aplikasi e-Wallet AnsaraPay.

Bagi Azizul Fikri pula, kerjasama strategik PayHalal gerbang pembayaran patuh syariah pertama di dunia bersama PTPTN adalah bagi mewujudkan saluran pembayaran digital patuh syariah bagi kemudahan masyarakat membayar pinjaman PTPTN serta simpanan mereka di Simpan SSPN.

Sementara itu, Pengurus Besar SpayGlobal, Chin Zhan Kiun menjelaskan SiliconNet Technologies berasa bangga atas kolaborasi bersama PTPTN dan SpayGlobal.

“Kami yakin ia akan terus menjadi modul Lifestyle Gaya Hidup Tanpa Tunai yang popular di SpayGlobal,” ujarnya dalam kenyataan yang sama.

Bagi Alain pula, usaha pihak PTPTN memudahkan proses pembayaran bagi pelanggan mereka haruslah dipuji.

“Di Shopee dan ShopeePay, objektif kami adalah untuk menambah baik gaya hidup masyarakat melalui teknologi dan kami berasa gembira dapat bekerjasama bersama PTPTN bagi mengambil satu lagi langkah positif ke arah matlamat kami,” katanya.

Melalui kempen yang sama, pelanggan yang menggunakan aplikasi AnsaraPay, PayHalal dan ShopeePay untuk membuat bayaran balik pinjaman atau penambahan deposit Simpan SSPN dalam tempoh promosi akan berpeluang menerima pemberian ganjaran.

Justeru PTPTN berharap dengan adanya penambahan saluran bayaran baharu serta kempen yang dilaksanakan akan menjadi pemudah cara kepada peminjam serta pendeposit untuk terus membuat bayaran balik pinjaman dan penabungan selain dapat memperkasakan perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat.Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Click, Pay & Earn is Back! layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.- MalaysiaGazette