KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang anggotanya yang menaiki kereta peronda seperti tular di laman Twitter semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya meminta pemilik akaun Twitter terbabit tampil membuat laporan polis supaya keterangannya dapat diambil.

“Pada Jumaat telah tular di aplikasi media sosial oleh pemilik akaun Twitter Lord Pretty’ @qhaishaantsha yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda telah melakukan gangguan seksual terhadapnya.

“Gambar kereta peronda polis jenis Honda Civic yang dimuat naik disahkan adalah kereta peronda polis milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Berikutan daripada itu, siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku salah laku seperti yang didakwa.

Jelasnya, IPD Petaling Jaya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia.

“Sehubungan itu, masyarakat diminta untuk tampil membuat pengaduan ke balai polis yang berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan pelanggaran undang-undang yang membabitkan anggota polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast