KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengakui hanya 50 peratus pengendali hotel yang bersedia untuk pembukaan sektor pelancongan selepas industri itu ditutup susulan pandemik Covid-19.

Lantaran itu, tidak mustahil timbul rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan pelanggan dan pelancong dalam aspek kualiti perkhidmatan dan keselesaan menginap yang ditular oleh orang ramai sejak kebelakangan ini

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata, situasi ini berlaku apabila permintaan terlalu besar muncul sekali gus.

Sedangkan pada masa sama, pengendali hotel masih tidak dapat ‘bangun’ selepas ‘terduduk’ ekoran pandemik yang meranapkan kebanyakan perniagaan mereka.

“Apabila pandemik berlaku, sektor perhotelan paling terjejas teruk. Perniagaan terpaksa ditutup, pekerja terpaksa diberhentikan, kerja-kerja menyelenggaraan hotel terpaksa ditangguhkan.

“Dalam keadaan begitu, untuk bangun semula bukan mudah, terpaksa merangkak. Itulah realiti yang berlaku.

“Dari sudut pelancong pula, sebaik sahaja sektor ekonomi dibuka, mereka tak tunggu lagi mahu keluar melancong. Keadaan tidak seimbang antara pengendali hotel yang masih bergelut dengan isu kewangan dan keterujaan orang ramai untuk melancong,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Khalid percaya situasi ini akan diperbaiki dan pulih seperti sediakala, cuma ia mengambil masa.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan kawasan tumpuan pelancongan berada dalam keadaan sedia untuk menerima pelancong.

Beliau menegur ketidaksediaan PBT Langkawi untuk menerima kemasukan pelancong dengan tahap kebersihan pulau itu yang kurang memuaskan.

“Sebagai sebuah pulau pelancongan popular, Langkawi sepatutnya menawarkan kelainan dari seluruh aspek.

“Bila kita melawat pulau, tentu kita mahu merasai suasana pulau, bukan suasana bandar. Jadi banyak perkara yang PBT Langkawi perlu lakukan,” ujarnya.

Ia termasuk memastkkan kawasan tersebut terang dengan simbahan cahaya lampu pada waktu malam, kebersihan terjaga 24 jam, ada had laju kenderaaan, suasana pintu masuk pulau yang berbeza.

”Jangan sama dengan suasana di bandar, kalau macam tu tak perlu ke Langkawi. Mesti wujudkan persekitaran pulau,” kata Mohd Khalid.

Beliau juga mahu semua peserta industri pelancongan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada tercetusnya kluster pelancongan.

Perkara ini paling dibimbangi kerana ia akan menjejaskan industri yang baru hendak bangun semula. – MalaysiaGazette