Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Melaka di Glenmarie Hotel Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan Ikrar Untuk Melaka yang berteraskan enam tunjang utama bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Enam tunjang ikrar berkenaan adalah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur termasuk keteguhan dan kejujuran pentadbiran.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Melaka mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan membabitkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan agro makanan serta pelancongan.

Sehubungan itu katanya, PN akan memastikan ekonomi negeri Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan dengan memberi tumpuan kepada industri strategik, pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)

“Melalui pendekatan ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana dan tentunya para peniaga di Melaka dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, bahkan boleh meningkat berlipat kali ganda. Pulangan kepada negeri pula akan diterjemahkan melalui pembangunan pesat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri Melaka.

“Dengan limpahan ekonomi, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat di negeri Melaka.

“Ini termasuklah graduan TVET, Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara yang masih ingin aktif berkhidmat. Bagi kumpulan berpendapatan rendah pula, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan untuk mereka menambah pendapatan masing-masing,” katanya ketika melancarkan Ikrar PN untuk Melaka di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

Bagi tunjang kedua iaitu keprihatinan kepada rakyat pula, Muhyiddin berkata, PN berikrar akan meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka dalam ranking tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.

PN juga, tambah beliau, akan memberi perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz.

Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), ujarnya.

Kata Muhyiddin, ini termasuk pemberian bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada guru tahfiz, guru KAFA dan juga guru Ttadika di bawah seliaan JAIM, sebagai penghargaan jasa dan bakti guru-guru untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan.

PN juga, kata beliau, akan memberikan bayaran one-off yang sama jumlahnya kepada anak yang dilahirkan di Melaka pada tahun ini sebagai bantuan perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak pada waktu negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Perhatian turut diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Selain itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka.

“PN memahami bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada rakyat dan kesannya masih terasa sehingga kini. Bagi meringankan impak pasca Covid-19, bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikurangkan. Ini bagi meringankan beban kewangan dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berniaga,” katanya.

Selain itu beliau berkata, PN akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride” dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan, yang merupakan tunjang ketiga Ikrar Untuk Melaka.

Tunjang keempat dan kelima pula masing-masing adalah kelestarian alam sekitar dan kecekapan infrastruktur yang melibatkan usaha naik taraf jalan serta naik taraf sistem saliran dan tebatan banjir.

Ikrar PN untuk Melaka adalah menjamin keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka, menerusi memperkasakan perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat.

“Pemerkasaan ini juga turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.

“Ini adalah aspek penting kewujudan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang berpaksikan kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi asas sebuah pentadbiran kerajaan yang baik atau good governance,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan kesemua ikrar dilaksanakan sekiranya PN menjadi kerajaan negeri selepas PRN tidak lama lagi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan.

Ujar beliau, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai oleh anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman.-MalaysiaGazette