Calon Barisan Nasional N.25 Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (dua kiri) beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir makan petang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kafe Markisa, Jasin, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2021.

JASIN – Tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berbaki kurang seminggu lagi akan dimanfaatkan sepenuhnya Barisan Nasional (BN) dengan menyantuni seberapa ramai pengundi meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan.

Calon BN bagi kerusi N25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, beliau sendiri mahu berkempen dengan pendekatan yang baik dan cuba mengelakkan sebarang provokasi meskipun parti itu kerap kali diasak dengan politik fitnah.

“Cabaran itu ada, tipulah kalau saya kata tak ada cabaran, tapi Insya-Allah kita akan habiskan kempen tempoh berbaki beberapa hari lagi dengan cara yang baik-baik, berhemah, tak nak gaduh-gaduh.

“Yang penting kita nak berkempen dengan cara yang aman, asalkan demokrasi itu dapat dilangsungkan dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kafe Markisa, di sini, hari ini.

Khaidhirah berkata, beliau tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi-pengundinya, sebaliknya komited untuk memastikan kubu kuat UMNO itu akan terus dipertahankan.

“Kalau kata Jasin ini DUN Rim khususnya memang kubu kuat UMNO, sejak sekian lama hanya UMNO sahaja mentadbir DUN Rim ini.

“Sudah tentu saya nak pertahankan kalau boleh pertahankan dengan lebih baik dan saya sendiri sudah ada beberapa perancangan.

“Cuma saya tak suka menjanjikan bulan dan bintang tetapi kemudahan infra asas untuk masyarakat di DUN Rim khususnya belia, anak-anak muda di sini akan kita naik taraf supaya semuanya menjadi lebih baik Insya-Allah,” katanya.

Ditanya tentang isu berbangkit di kawasan itu, Khaidhirah berkata, capaian akses internet, bekalan air bersih dan jalan raya antara perkara yang menjadi keutamaan beliau sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di situ.

“Capaian internet perlu diselaraskan lebih baik khususnya kepada anak-anak muda berada di luar bandar yang duduk dengan ibu bapa. Kita tak boleh menafikan akses mereka kepada internet untuk mendapatkan maklumat.

“Walaupun duduk di kampung, semua orang mempunyai hak kepada capaian internet malah ia sudah jadi keperluan asas,” katanya.

Selain itu, masalah bekalan air bersih juga menimbulkan keresahan penduduk tempatan di beberapa kawasan di sini yang berlarutan sejak sekian lama.

“Perkara ini perlu ditangani dengan diselesaikan secepat mungkin. Masalah air merupakan keperluan asas, semua orang perlu bekalan air bersih.

“Itu antara perkara yang saya lihat, dalam masa terdekat, anda diberikan mandat pada 20 November ini untuk dua perkara yang paling asas untuk masyarakat di DUN Rim ini,” katanya. – MalaysiaGazette