MELAKA – Tujuh anggota pasukan keselamatan antara 80 individu yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan, di Taman Melaka Raya, di sini awal pagi semalam.

Kesemua mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, kira-kira jam 1.20 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, daripada jumlah yang ditahan itu tujuh adalah anggota pasukan keselamatan berusia antara 34 hingga 42 tahun.

“Daripada keseluruhan yang ditahan itu termasuk warga asing, 30 adalah wanita dan kesemua mereka berusia antara 17 hingga 62 tahun.

“Hasil ujian air kencing terhadap semua mereka mendapati lima termasuk seorang lelaki positif methamphetamine.

“Bagaimanapun kesemua tujuh anggota pasukan keselamatan itu didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 65 kompaun berjumlah RM4, 000 setiap orang turut dikeluarkan kepada pengunjung warga tempatan.

“Manakala penjaga premis pula dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM10, 000 dan turut disiasat dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(C) akta sama dan Peraturan 39B. – MalaysiaGazette