KUALA LUMPUR – Dalam tempoh 10 tahun sejak 2011, agensi penguatkuasaan telah menerima sebanyak 73,545 aduan berkaitan kes salah laku dan rasuah termasuk yang berprofil tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjelaskan perkara itu berkata, agensi penguat kuasa itu melibatkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam, Jabatman Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Katanya, dalam menerima aduan itu, tujuh agensi penguat kuasa berkenaan menggunapakai Akta 711 iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Jumlah aduan 73,545 ini adalah berdasarkan statistik dikemukakan agensi penguatkuasa dari tahun 2011 hingga 2021.
“Namun, jumlah pemberi maklumat adalah hanya seramai 527 orang sahaja. Ini menunjukkan terdapat kekurangan sama ada dalam pelaksanaan akta tersebut atau dalam peruntukan akta itu sendiri,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang minta kerajaan menyatakan secara terperinci cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan Pemberi Maklumat di bawah Akta 711 dan sejauh mana keberkesanannya melindungi Pemberi Maklumat dalam kes-kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.
Menurut Wan Junaidi, beberapa sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh telah diadakan termasuk dengan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan Government Accountability Project (GAP).
Di samping itu juga, katanya, satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan dan penambahbaikan yang telah diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Jelas beliau, ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri daripada pihak agensi penguatkuasa, agensi dan jabatan di negeri, syarikat swasta, GLC, CSO dan NGO.
Sebanyak tujuh isu berkaitan dengan Akta 711 telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan akta tersebut.
Isu itu antaranya, pertama, definisi “Kelakuan tidak Wajar” di bawah Seksyen 2 Akta 711 adalah terlalu luas dan tidak jelas.
Kedua, Akta 711 tidak mengiktiraf mekanisma aduan dalaman yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi “bukan agensi penguat kuasa” untuk diterima sebagai saluran pendedahan kelakuan tidak wajar yang sah dan diterima di bawah Akta 711.
Ketiga, tiada pengurusan secara berpusat atau pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab dalam memberi perlindungan kepada pemberi maklumat di Malaysia.
Keempat, terdapat inconsistency di antara Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Seksyen 203A (1) dan (2) Kanun Keseksaan. Seksyen 203A Kanun Keseksaan memperuntukan mana-mana pihak yang didapati mendedahkan mana-mana maklumat yang diperoleh olehnya sewaktu menjalankan tugas merupakan suatu kesalahan. Namun, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membenarkan pendedahan sesuatu kelakuan tidak wajar yang diketahui sewaktu seseorang menjalankan tugas, sama ada oleh pegawai badan awam atau badan swasta.
Kelima, terdapat percanggahan Seksyen 8 dan Seksyen 14 Akta 711. Siasatan “Tindakan Yang Memudaratkan” pada kebiasaannya akan mendedahkan identiti Pemberi Maklumat. Seksyen 8 memperuntukkan bahawa pendedahan identiti Pemberi Maklumat merupakan suatu kesalahan di bawah Akta ini.
Di samping itu, Seksyen 14 pula memperuntukkan kuasa kepada Agensi Penguatkuasa menjalankan siasatan berhubung “Tindakan Yang Memudaratkan” apabila menerima aduan daripada Pemberi Maklumat.
Keenam, Seksyen 11(1)(a) memperuntukkan agensi penguatkuasaan boleh membatalkan perlindungan pemberi maklumat jika berdasarkan penyiasatan didapati pemberi maklumat itu sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar yang didedahkan itu.
Ketujuh, Seksyen 26 Akta 711 tidak memperuntukkan kaedah serta skala pengiraan ganjaran.
Menurut Wan Junaidi, tujuh isu itu masih dalam kajian dan penelitian Jawatankuasa Kerja Pindaan Akta 711, manakala hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan akta itu dijadualkan dibentang kepada Jemaah Menteri Disember ini.
Jelas beliau, kerajaan amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung Akta 711.
“Ini bagi memastikan cadangan pindaan akta ini dapat menambahbaik pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat dan seterusnya mengekang kes salah laku dan rasuah terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi.
“Akta digubal bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalak dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















