Mohd Zarif Hashim

KUALA LUMPUR – Garis masa pembukaan sepenuhnya operasi fasa satu Transit Aliran Massa (MRT) Jajaran Putrajaya telah ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ini kerana jajaran berkenaan masih dalam proses operasi percubaan di mana operasi percubaan telah dijalankan sejak 29 April 2021, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.

“Sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh setiap hari namun tidak melibatkan penumpang.

“Kita menjalankan operasi percubaan ini adalah mengikut jadual simulasi operasi sebenar yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas mengenai perkembangan terkini projek MRT jajaran Putrajaya di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terperinci akhir dan demonstrasi prestasi sistem telah turut dilaksanakan sepenuhnya sepanjang tempoh berkenaan, bagaimanapun kedua-dua aktiviti terbabit masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Selain itu, Mohd Zarif juga memaklumkan mengambil keadaan tersebut, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset daripada kontraktor serah kunci yang dilantik pihaknya.

“Justeru, laluan Fasa Satu MRT Jajaran Putrajaya tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar (revenue service) atau kegunaan awam pada November 2021 seperti yang dijadualkan pada asal.

“Tren MRT mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan banyak data berkaitan telah dikumpulkan untuk penilaian selanjutnya.

“Setelah kami meneliti sendiri data-data yang diperolehi, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi secara lebih mendalam lagi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pihak MRT Corp perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil dan kukuh sebelum mengambil alih aset tersebut dan meluluskannya untuk operasi secara rasminya.

“Kami sentiasa mengambil berat akan keselamatan penumpang, kakitangan operasi dan kru penyelenggaraan kami,” tegasnya.

Mohd Zarif juga meletakkan sasaran untuk pembukaan perkhidmatan jajaran Putrajaya menjelang suku kedua tahun 2022.

Dalam pada itu MRT juga memaklumkan progres pembinaan fasa satu MRT kini mencapai 99.9 peratus manakala fasa kedua siap 94.2 peratus dan keseluruhannya 95.3 peratus disiapkan dengan kos pembinaan berjumlah RM30.53 bilion.

Keseluruhannya jajaran Putrajaya melibatkan 36 stesen operasi MRT dengan sembilan daripadanya di bawah tanah melibatkan jarak sejauh 57.7 kilometer membabitkan 49 set tren.

Ia membabitkan sebanyak 10 stesen pertukaran atau transit manakala 17 stesen dilengkapi kemudahan Park and Ride iaitu Kentonmen (135 lot parking), Kuchai (200), Taman Naga Emas (110), Sungai Besi (70), Serdang Raya Utara (155), Serdang Raya Selatan (334), UPM (460), Taman Equine (350) Cyberjaya Utara (228) dan Putrajaya Sentral (1,000 lot parkir).

Sebanyak 10 stesen pertukaran disediakan Titiwangsa (transit LRT Ampang dan Sri Petaling sert Monorail KL), Ampang Park (transit LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (jajaran MRT Kajang), Chan Sow Lin (Jajaran LRT Ampang dan Sri Petaling), Sungai Besi (LRT Sri Petaling), Putrajaya Sentral (Transit KLIA).

Bagi Fasa 1 jajaran Putrajaya pula adalah membabitkan Stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu sebanyak 12 stesen MRT didirikan termasuk tiga yang dipindahkan dari Jajaran Kajang membabitkan jarak sejauh 17.5 kilometer dengan merangkumi 14 tren (empat gerabak setiap tren) melibatkan waktu perjalanan selama 25 minit.

Sebanyak empat stesen pertukaran disediakan iaitu Kwasa Damansara (MRT laluan Kajang), KTM Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (transit Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu (KTM).- MalaysiaGazette