Tindakan seorang lelaki yang ditahan kerana mencabut bendera dan sepanduk parti politik di persimpangan Jalan Taman Melaka Perdana di Alor Gajah semalam bukan sabotaj politik.

AYER KEROH – Tindakan seorang lelaki yang ditahan kerana mencabut bendera dan sepanduk parti politik di persimpangan Jalan Taman Melaka Perdana di Alor Gajah semalam bukan sabotaj politik.

Ia disahkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Berdasarkan soal siasat, katanya, tindakan mencabut bendera dan sepanduk terbabit dilakukan atas alasan bahan kempen itu menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar dan masuk ke simpang jalan berkenaan.

Photo kredit PDRM

“Suspek juga mengakui tujuan beliau berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik,” tambah Abdul Majid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis juga telah menemui lapan batang bendera berlogo Pakatan Harapan (PH), empat batang bendera Perikatan Nasional (PN) dan 14 batang bendera Barisan Nasional (BN).

Kejadian tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 kanun Keseksaan kerana khianat, namun suspek telah dibebaskan atas jaminan Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah.

Justeru, beliau menasihati semua parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya tidak memacak bendera dan sepanduk di tempat yang menghalang pemandangan pengguna jalan raya.

Menurut Abdul Majid, sehingga hari ini sebanyak lima laporan polis telah dibuat berkaitan perbuatan sabotaj bendera dan sepanduk parti politik, membabitkan dua di daerah Melaka Tengah, dua di Alor Gajah dan satu di Jasin.- MalaysiaGazette