IMBAS SEMULA.Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (tengah) bersama penguam dan isterinya Gobind Singh Deo (kiri) Betty Chew (kanan) berjalan keluar selepas perbicaraan kes rasuah yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 20 OGOS 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebulat suara menolak permohonan memindahkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan memohon untuk memindahkan kes rasuah melibatkan pembinaan terowong dasar laut jalan utama di Pulau Pinang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tiga panel hakim yang bersidang diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin sebulat suara menolak permohonan itu.

Turut bersidang, Datuk Che Mohd.Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah.

Guan Eng sebelum ini telah mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai lepas yang memutuskan untuk menolak permohonannya untuk memindahkan kes rasuah tersebut.

Ini juga bermakna kes rasuah yang sedang berlangsung dengan 11 saksi telah dipanggil, perbicaraan akan diteruskan dan bersambung pada 29 November ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng.

Sementara itu, Gobind ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, pihaknya akan menunggu arahan sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Untuk makluman  kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Guan Eng untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR,or Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Ini memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette