Gambar hiasan

MELAKA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan kenyataan petang ini dipercayai turut menyentuh mengenai peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di negeri ini sehingga 57 peratus sejak tujuh hari lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman ketika dihubungi MalaysiaGazette bagi mengulas peningkatan kes yang didakwa berkait rapat ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin rancak sebelum hari mengundi Sabtu ini.

“Saya sedang mesyuarat dan tak boleh (ulas peningkatan). DG (Ketua Pengarah) akan buat kenyataaan petang ini, jangan risau,” katanya enggan mengulas lanjut.

Semalam, media melaporkan berlaku peningkatan 57 peratus sejak tujuh hari lalu manakala portal COVIDNOW pula menunjukkan kadar peningkatan itu kedua tertinggi di negara ini.

Ironinya, peningkatan kes dicatatkan ketika ratusan jentera serta pemimpin utama parti berkampung di Melaka untuk pusingan akhir kempen PRN minggu ini.

Tujuh hari lalu yang juga hari pertama kempen PRN Melaka selepas penamaan calon pada 8 November menyaksikan jumlah kemasukan harian pesakit Covid-19 mencatatkan 15 kes, namun meningkat kepada 26 kes (Selasa), 70 kes (Rabu), 26 kes (Khamis), 31 kes (Jumaat), 32 kes (Sabtu) dan 33 kes semalam.

Untuk rekod, pada Jumaat lalu, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengarahkan Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas, ditutup 14 hari sehingga 26 November, selepas terdapat kes positif Covid-19.

Ujian saringan awal mendapati, seorang individu positif Covid-19 mengakibatkan seramai 23 individu lain menjalani ujian saringan dan masih menunggu pengesahan.

Jumaat lalu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, purata Rt di seluruh negara kembali mencatatkan 1.0, sekali gus bererti pola penurunan jumlah kes baharu sejak beberapa minggu lalu sudah terhenti. – MalaysiaGazette