leading cause of death ischaemic heart disease Malaysia

KUALA LUMPUR – Penyakit jantung (Ischaemic heart diseases) kekal sebagai punca kematian utama di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

Ianya menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang mana telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17 peratus pada 2020.

Sebanyak 12,707 (68.6%) kematian disebabkan oleh penyakit jantung adalah dalam kalangan lelaki, manakala perempuan adalah 5,808 (31.4%).

Penyakit ini merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana etnik Bumiputera (16.6%), Cina (16.0%) dan India (22.8%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian ini pada masa kini.

Ini disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa negara ini dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah yang mana kadar pesakit jantung dan obesiti yang agak tinggi.

Dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi 2019 (NHMS), menunjukkan kadar kandungan gula, tekanan darah dan kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung.

Selain itu, pneumonia (radang paru-paru) pula mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.4 peratus diikuti Cerebrovascular diseases (strok) (8.3%), kemalangan pengangkutan (3.8%) dan Malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung (kanser paru) (2.9%).

Selain daripada lima sebab kematian utama, statistik juga menunjukkan bahawa kematian yang disebabkan oleh kanser turut meningkat sejak tahun 2000 dengan 11.6 peratus pada tahun 2000 kepada 15.5 peratus pada 2020.

Kematian disebabkan oleh Covid-19 pula merupakan sebab kematian baharu yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 471 kematian atau 0.3 peratus daripada 166,507 kematian.

Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 265 kematian manakala Terengganu merekodkan kematian terendah iaitu hanya satu kematian.

Kematian akibat penyakit jantung merupakan sebab kematian utama di 92 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Kampar, Perak dengan 33.3 peratus manakala pneumonia punca kematian utama di 32 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Pakan, Sarawak (19.9%).

Dari segi kumpulan umur, sebab kematian utama bagi yang berumur 0-14 tahun dan 15-40 tahun adalah kemalangan pengangkutan masing-masing pada kadar 3.0 peratus dan 16.8 peratus.

Selain itu, sakit jantung merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41-59 tahun (20.0%) dan 60 tahun ke atas (18.0%). – MalaysiaGazette