Pengarah Urusan Sempurna Gemilang Sdn. Bhd., Azman@Gusti Asari (tiga kanan) bersama Pengerusi Uthmaniah Properties Development Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad (dua kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman bagi pembinaan Uthmaniah International Cancer Center (UICC) yang dijangka bermula pada Februari tahun hadapan di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Sebuah Pusat Kanser Antarabangsa Uthmaniah (UICC) akan dibina di Cyberjaya khusus bagi kemudahan pesakit dalam dan luar negara.

Pembinaan pusat yang terletak di Selangor Cyber Valley dengan anggaran keluasan kira-kira 27 ekar itu dijangka bermula pada Februari tahun hadapan dan dijangka siap pada 2024.

Pengerusi Uthmaniah Properties Development Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Tarmizi Mohamad berkata, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi membangunkan keseluruhan enam projek di bawah Bandar Perubatan Uthmaniah.

Ia merangkumi pusat kanser antarabangsa, pusat kajian perubatan, universiti, rumah kelab, dua blok kondominium untuk pesakit dan pusat beli-belah.

“Sebenarnya inspirasi untuk membina pusat kanser ini kerana ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang meninggal dunia akibat kanser dan saya percaya ramai di luar sana turut mengalami nasib yang sama.

“Idea untuk membina pusat kanser ini tercetus sejak tahun 2018 lagi, kita pun sudah mendapat sokongan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) untuk kita laksanakan dan jayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pengarah Urusan Sempurna Gemilang Sdn. Bhd., Azman@Gusti Asari bagi pembinaan Pusat Kanser Antarabangsa Uthmaniah di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, pusat kanser antarabangsa itu akan menggunakan teknologi yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat dikenali sebagai ‘Proton Beam Theraphy’.

“Teknologi yang akan kita gunakan kelebihannya adalah mampu merawat kanser pada tahap yang pertama lagi iaitu seawal dikesan.

“Teknologi ini tidak perlu menunggu sehingga tahap tiga atau empat jadi seawal bayi dah boleh kesan kanser, ini adalah teknologi yang akan kita bawa di Malaysia.

“Namun kebanyakan tumpuan rawatan adalah kepada jenis-jenis kanser seperti kanser otak, paru-paru, prostat dan payudara.

“Teknologi ini juga menggunakan mata laser sehalus 0.025 milimeter sahaja dan mampu pecahkan molekul kanser dan lebih efektif selain kurang kesan sampingan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi turut menjangkakan pusat perubatan antarabangsa itu mampu melonjakkan lagi industri pelancongan perubatan di negara ini dengan menarik lebih ramai pengunjung dari luar terutamanya negara-negara Asia.

“Kalau kita tengok kepada statistik pada Januari hingga Disember 2019, jumlah pesakit kanser yang datang dari luar negara adalah seramai 44,700 orang jadi ini adalah satu fenomena yang agak memberangsangkan bagi kita di Malaysia sebab bila mana negara jiran seperti Indonesia dan Thailand termasuk Singapura datang ke sini untuk dapatkan rawatan sebab kita tahu Malaysia antara yang mempunyai hospitaliti paling terbaik dalam Asia,” katanya. – MalaysiaGazette