Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional, Datuk Hasan Abdul Rahman pada sidang media mengenai kemusnahan yang dilakukan Pakatan Harapan ketika pemerintahan 22 bulan di Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 NOVEMBER 2021.

JASIN – Barisan Nasional (BN) optimis akan meneruskan projek pelaburan swasta bernilai RM300 juta menerusi penubuhan Perbadanan Sungai Rambai yang pernah dirancang sebelum kerajaan BN tumbang pada 4 Oktober lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, cadangan itu telahpun diluluskan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang dipengerusikan ketua menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun jelasnya, usaha yang bakal mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan dan menarik pendapatan bersih RM5 juta setahun buat kerajaan negeri dan Persekutuan terbantut akibat tumbangnya kerajaan BN bulan lalu.

“Malangnya, kita tidak boleh teruskan projek swasta yang mampu menarik pelaburan sebanyak RM300 juta ini termasuk cadangan membina pusat kesihatan selepas bersara dan pangsapuri servis.

“Saya optimis, BN akan meneruskan cadangan ini dan jika rakyat juga mahu melihat kecemerlangan dan kegemilangan Gerbang Selatan Sungai Rambai ini sehingga Perbadanan Sungai Rambai dapat diwujudkan, pengundi harus memastikan kemenangan BN Sabtu ini.

“Memenangkan BN adalah satu kemestian kerana perjuangan membahagiakan rakyat adalah agenda kita, sekaligus menjadikan Sungai Rambai ini sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional, Datuk Hasan Abdul Rahman bercakap pada media mengenai kemusnahan yang dilakukan Pakatan Harapan ketika pemerintahan 22 bulan di Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 NOVEMBER 2021.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Rambai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Pengarah Jentera BN Parlimen Jasin berkata, jika BN berjaya membentuk kerajaan Sabtu iprojek pemulihan kawasan berkenaan yang diluluskan Kabinet sebagai daerah kecil pada 20 Mac 2018 dapat diteruskan.

“Ini termasuk menaik taraf semula prasarana serta meningkatkan kawasan kegiatan ekonomi untuk rakyat di Sungai Rambai serta daerah ini keseluruhannya.

“Sungai Rambai berpotensi menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang tidak sepatutnya hanya ditumpukan di kawasan Ayer Keroh dan pusat bandar sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette