Penyandang kerusi DUN Machap Jaya, Ginie Lim.

MELAKA – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Ginie Lim hari ini menjawab balik dakwaan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Semalam Mohamed Azmin mendakwa Ginie yang juga Ketua Cabang PKR Alor Gajah digugurkan daripada kembali bertanding pada Pilihan Raya (PRN) Melaka kerana pernah menyokongnya.

Bagaimanapun kata Ginie, beliau tidak pernah langsung menyokong Mohamed Azmin mahu pun ‘Langkah Sheraton’ yang akhirnya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jelas Perikatan Nasional (PN) sudah kehabisan modal politik dan wajib ditolak apabila cuba mengalihkan fokus daripada isu rakyat.

“Kesetiaan seorang aktivis reformis adalah pada prinsip perjuangan parti, bukan kepada individu. Saya menolak dengan tegasnya tindakan Langkah Sheraton kerana bersekongkol dengan kuasa kleptokrat dan perasuah yang telahpun ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya umum.

“Meskipun Azmin pernah menjadi Timbalan Presiden PKR namun amat menyedihkan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan politik pelbagai kaum dan melawan rasuah lebih 20 tahun tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada acuan parti perkauman dan perasuah.

“Adalah lebih baik Azmin menyedari partinya sekarang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi relevan untuk masa depan tanahair kita.

“Sepatutnya beliau kembali ke hala tuju yang betul daripada membiarkan dirinya terus menjadi alat perasuah,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR melahirkan rasa sedih dengan keputusan parti lamanya untuk menggugurkan Ginie dan berharap ahli PKR itu meneruskan perjuangan.

“Saya sangat sedih kerana dia digugurkan daripada bertanding dalam pilihan raya negeri ini dan saya difahamkan Ginie adalah mangsa (isu) dalaman PKR kerana Ginie dilihat berpihak kepada saya,” kata Mohamed Azmin.

Bagaimanapun kata Ginie Lim lagi, beliau tetap komited dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun tidak bertanding kali ini.

“Walaupun saya tidak bertanding dalam PRN Melaka kali ini, saya tetap komited dengan agenda perjuangan PH serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam politik tanahair di bawah pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya meminta agar semua pengundi Melaka mengambil pendirian yang tegas, demi kemajuan dan keharmonian negeri kesayangan kita. Tolong keluar mengundi pada 20 November ini untuk mengembalikan pentadbiran kerajaan yang stabil dan prihatin.

“Pertahankan mandat rakyat sepertimana dalam Pilihan Raya Umum 2018. Itulah hasrat kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette