Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media khas di Bilik Gerakan Barisan Nasional Jalan Klebang, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 NOVEMBER 2021.

KLEBANG – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) tidak bercadang untuk menghentikan operasi atau menjual pesawat Hawk 108 yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ekoran terlibat dalam satu kemalangan, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya perlu menunggu hasil siasatan nahas pesawat itu sebelum membuat sebarang keputusan kelak.

“Ia masih berfungsi dengan baik dan saya dimaklumkan ketika itu dalam latihan penerbangan malam.

“Saya tak terima laporan apa-apa berhubung kait dengan skuadron terbabit sendiri.

“Saya tak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan untuk mengeliru dan mengeruhkan keadaan.

“Biar pihak berkuasa berkaitan melakukan siasatan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, dua juruterbang pesawat TUDM Hawk 108 yang dikhuatiri hilang sebelum ini, disahkan meninggal dunia.

Kedua juruterbang tersebut dikenal pasti sebagai Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang yang mengesahkan perkara itu berkata tragedi itu berlaku ekoran pesawat tersebut terlibat dalam kemalangan.

Kedua-dua mereka ditemui pada 2.30 petang tadi di kawasan berpaya di Chukai, Kemaman, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM Kuantan.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberi jaminan cadangan untuk pembelian pesawat pejuang baharu akan diteruskan bagi menggantikan aset-aset yang usang.

“Ini (pembelian pesawat baharu) sudah dalam perancangan kita seperti biasa.

“Satu insiden sebegini tidak menuntut kita memikirkan pendekatan yang berbeza daripada apa yang saya umumkan sama ada di Parlimen atau melalui dasar-dasar Pertahanan kita.

“Saya harap apa yang telah dirancang mencukupi untuk memenuhi keperluan TUDM,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, keperluan kepada pembelian mahupun penambahan aset pertahanan negara bergantung kepada keperluan TUDM sendiri.

“Akhirnya mereka adalah pengguna akhir sama ada memerlukan pesawat baharu atau pun peruntukan untuk penyelenggaraan pesawat-pesawat sedia ada.

“Ianya mesti datang daripada pihak TUDM sendiri, kita bukan pakar, kita bukan pengguna akhir.

“Akhirnya terletak di atas bahu TUDM sendiri untuk memastikan aset-aset sedia ada ini selamat, apa yang telah pun ditetapkan untuk memastikan negara kita ini selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette