Khairul Dzaimee Daud Sungai Bakap Temporary Immigration Depot in Penang Rohingya detainees riot escape
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pas dan sebarang kemudahan imigresen membabitkan warganegara asing yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warganegara asing terbabit juga boleh diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitamkan daripada memasuki negara ini semula.

“Kebelakangan ini sering tular di dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar SOP pencegahan Covid-19.

“Malahan terdapat dalam kalangan mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

“Sehubungan dengan itu, JIM menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Khairul Dzaimee turut mengingatkan warga tempatan yang menjadi penaja atau majikan kepada warganegara asing supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan mereka patuh kepada arahan dan undang-undang negara ini.

“Mereka akan diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitamkan dari memasuki negara ini semula seperti mana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – MalaysiaGazette