Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (dua kiri), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (dua kanan) dan calon Pakatan Harapan N.22 Bandar Hilir, Leng Chau Yen (kiri) berbincang sesuatu program santai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bandar Hilir, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2021.

BANDAR MELAKA – DAP berpendapat gabungan Pakatan Harapan (PH) perlu mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini kerana berkemungkinan tidak akan ada mana-mana parti yang mendapat majoriti tinggi kali ini, menurut Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

“Kita kena bincang sesama sendiri dulu yang penting kita sebagai satu pakatan. Yang kita tak mahu adalah lompat (parti),” katanya kepada media hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian ketika ditanya kemungkinan ketiga-tiga gabungan parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh membentuk kerajaan kerana gagal memperolehi majoriti.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pengumuman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri gabungan parti itu merupakan satu tamparan buat kepada Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Guan Eng berkata, pengumuman itu terbukti bahawa Mohd Rafiq tidak akan menang di kerusi DUN Telok Mas.

“Untuk mencalokan Mas Ermieyati tentu ia sesuatu pilihan baharu yang beri tamparan hebat kepada Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq.

“Bila pengumuman ini dibuat, ini bermakna Mohd Rafiq akan kalah di Telok Mas yang (mungkin) memberi kelebihan sikit pada Mas Ermieyati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette