Calon Barisan Nasional N.25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) di Markisa Cafe Chin-Chin, Jasin Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

JASIN – Bergelar orang seni mahu pun anak seorang pemimpin politik bukan satu kelebihan, jauh sekali satu keistimewaan kepada Datuk Khaidhirah Abu Zahar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira sebaliknya tidak pernah leka dan terlalu selesa dengan kelebihan itu meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim merupakan kubu kuat UMNO.

“Ia, ia merupakan satu kelebihan tetapi bukan satu keistimewaan untuk saya mengambil mudah. Sebagai orang seni dan untuk dikenali sebagai seorang pemimpin, peranan dan skopnya berbeza, berat tanggungjawab itu juga berbeza.

“Kesan yang diberi kepada masyarakat juga berbeza,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional N.25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar beramah mesra bersama media dan masyarakat setempat pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) di Markisa Cafe Chin-Chin, Jasin Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 NOVEMBER 2021.

Beliau mengakui menjadi seorang pemimpin wanita muda mencabar berbanding hanya bergelar sebagai seorang selebriti yang kerap dilihat di kaca televisyen.

“Paling penting reputasi yang saya nak tonjolkan atau bawa sebagai seorang pemimpin wanita muda itu menjadi cabaran buat saya.

“Semua orang kenal nama saya, dulu tengok dekat televisyen sahaja tapi sekarang tak tengok dekat televisyen lagi. Kadang-kala agak sukar tetapi, semua orang fikir apa yang saya buat ini berlakon.

“Tak tidur malam, muka sudah bengkak dan sebagainya, ini bukan lakonan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette