BERA – Majlis Walkabout Perdana Menteri bersempena Program khidmat komuniti kesihatan berkonsepkan Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang diadakan di SK Bukit Rok, di sini, mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hampir 200 penduduk masyarakat Orang Asli, penduduk kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam hadir program itu bagi meraikan kehadiran pemimpin nombor satu negara.

Lebih menarik apabila Perdana Menteri memulakan ucapan dalam dialek masyarakat Orang Asli yang menggamatkan suasana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan program komuniti yang mengutamakan pembangunan pendidikan arus perdana, sosioekonomi dan kebajikan masyarakat orang Asli selari dengan Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12)

“UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) mengambil inisiatif bagi menjayakann program SULAM yang memfokuskan kesihatan wanita kepada masyarakt Orang Asli selaras slogan Caring Malaysia oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam kalangan mahasiswa,” katanya ketika berucap, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Mahdzir Khalid; Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Datuk Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jenerql Datuk Hasagaya Abdullah.

Seramai 50 pelajar perubatan tahun 3 dan 15 pensyarah dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP) melaksanakan program bertemakan Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak.

Turut diadakan aktiviti oeneriksaan kesihatan umum, ceramah kesihatan dan pameran berkaitan. – MalaysiaGazette