69 pelatih Kor Suksis USIM menamatkan latihan Inspektor Sukarelawan Simpanan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seramai 69 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menamatkan latihan sekali gus ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis USIM Tahun 2021 baru-baru ini.

Pelatih terdiri daripada 35 lelaki dan 34 perempuan sedang menuntut di peringkat Sarjana Muda.

Majlis yang diadakan ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia kepada pelatih-pelatih Kor Suksis yang telah berjaya menamatkan latihan selama 672 jam dalam tempoh tiga tahun pengajian iaitu selama enam semester sepanjang pengajian di universiti dengan modul-modul yang disediakan antaranya Latihan kawad, Latihan Senjata, Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Khidmat Masyarakat.

Mereka menerima watikah masing-masing yang disampaikan oleh Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Dr Mustafa Khan Abduk Samat, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK Bukit Aman.

Mustafa Khan dalam ucapannya meletakkan harapan pegawai pegawai Kor Suksis ini mampu menjadi seorang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi serta mampu memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat.

”Dengan semangat juang tinggi mereka telah berjaya mengharungi penat lelah, perit maung dalam menjalani latihan yang telah ditetapkan, Syabas dan tahniah diucapkan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin turut berharap dengan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka di USIM, pegawai- pegawai Kor Suksis USIM ini dapat lebih terkehadapan dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang lain.

Majlis ini juga menjadi kenangan manis buat Muhammad Aiman Syafiq Zaidi,22, Muhammad Hariz Anuar,22, dan Suraya Natasha Hassan,22 apabila masing-
masing dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan, Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Pelatih Terbaik Akademik.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Muhammad Aiman Syafiq Zaidi yang merupakan pelajar jurusan Bioteknologi Makanan dari Fakulti Sains dan Teknologi ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana tidak menyangka mendapatkan pengiktirafan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.

”Tiga tahun latihan di Suksis ini banyak perkara yang saya belajar dari sini, dari sudut mendisiplinkan diri, pengemasan diri dan latihan dan tunjuk ajar dari jurulatih, Alhamdulillah saya berjaya sampai ke tahap ini,”.

13 skuad dengan 771 Pegawai Kor Suksis USIM telah ditauliahkan sejak ditubuhkan pada tahun 2006. – MalaysiaGazette