KUALA LUMPUR – Geran RM10 juta yang diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lepas, diluluskan sepenuhnya untuk membantu menyara kehidupan rakyat yang terlibat dalam industri kreatif.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, geran itu adalah sebahagian daripada RM225 juta yang diperuntukkan melalui MyCreative Ventures Group untuk meningkatkan daya tahan ekonomi kreatif.

“Setakat hari ini, kita telah menyalurkan RM5.54 juta dana kepada 554 pekerja industri kreatif.

“Sebanyak RM8 juta lagi diperuntukkan kepada Cendana di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), telah diluluskan 82 peratus,” katanya ketika merasmikan ‘Pemulihan: Pembaharuan Exhibition, Fergana Art’ di Publika Shopping Gallery di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi memulihkan aktiviti industri kreatif, agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Cendana dan MyCreative Ventures akan mempergiatkan pelbagai inisiatif.

Antara lain, di bawah Bajet 2022, beliau berkata sebanyak RM188 juta disediakan untuk meneruskan inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem dan Program Perkasa Modal Insan.

Sementara itu, mengulas mengenai pameran itu, Tengku Zafrul berkata, ia memaparkan peristiwa yang jarang berlaku, peluang sekali seumur hidup untuk mengambil bahagian dalam merangka dan menulis sejarah.

“Edisi ini adalah pendekatan lebih bernuansa melibatkan 89 profesional kreatif daripada artis visual, penulis, penyair, saintis sosial, pemuzik, saintis, ahli teknologi, arkitek, wartawan foto dan editor.

“Secara ringkasnya adalah projek ini tentang apa, melangkaui kepentingan komersial dan dasar ekonomi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd Sufian Abdullah berkata selain membantu menawarkan rebat sewa kepada artis tempatan dalam ruang seni semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia kini terus menyokong mereka untuk berinteraksi semula dengan penonton menerusi persembahan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook atau saluran YouTube.

Pameran seni bertemakan Covid-19 yang berlangsung hingga 5 Dis ini memaparkan lanjutan kepada kesan PKP dan Covid-19 kepada kehidupan manusia, mata pencarian dan komuniti mereka sepanjang 20 bulan lepas, di Malaysia.

Pameran itu ditaja bersama UEM Sunrise dan disokong oleh Yayasan Hasanah dan Balai Seni Lukis. – MalaysiaGazette