Kanak-kanak dari Kampung Haji Durani Sungai Besar bermain bersama sambil mengibarkan jalur gemilang di sekitar kampungnya bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Tanjung Karang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Semua kanak-kanak harus dilayan sama rata dan dilindungi daripada segala bentuk diskriminasi, kata Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada hak dan kehidupan anak-anak dalam pelbagai aspek.

Data Kementerian Kesihatan yang dilaporkan media pada 12 Oktober 2021 menunjukkan seramai 410,762 kanak-kanak berumur 17 tahun ke bawah di Malaysia dijangkiti koronavirus itu, peningkatan mendadak daripada 12,620 kanak-kanak yang dijangkiti tahun lepas.

Dalam waktu yang sukar ini, pelbagai cabaran lain yang dihadapi oleh kanak-kanak termasuk kehilangan pembelajaran, peningkatan kes penderaan kanak-kanak, isu kesihatan mental, kanak-kanak yang menjadi yatim piatu, dan keluarga mereka yang dilanda kemiskinan.

CC memuji pihak kerajaan kerana memberi peruntukan tertinggi sebanyak RM52.6 bilion untuk pendidikan pada tahun 2022 dan sejumlah RM25 juta melalui Yayasan Keluarga Malaysia, untuk membantu kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19.

Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menangani kebajikan masa depan dan pembangunan akademik anak-anak, katanya sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan tema 2021, “Masa Depan Yang Lebih Baik untuk Setiap Kanak-Kanak” hari ini.

Dalam menyusun strategi penggunaan peruntukan ini, CC menasihatkan kerajaan untuk membangunkan pelan pasca pandemik yang komprehensif untuk mengatasi kesan wabak tersebut, untuk memberi manfaat kepada semua kanak-kanak di Malaysia, tanpa mengira status mereka.

Selaras dengan Perkara 2 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Negara-Negara Pihak hendaklah menghormati dan memastikan hak-hak yang dinyatakan dalam Konvensyen diberikan kepada setiap kanak-kanak dalam bidang kuasa mereka tanpa sebarang bentuk diskriminasi.

Sehubungan itu, CC menyeru kerajaan untuk memastikan Bajet Negara 2022 dan Pelan Pemulihan Negara (NRP) Malaysia dipacu oleh prinsip-prinsip kepentingan kanak-kanak, kelangsungan hidup dan perkembangan mereka, prinsip tanpa diskriminasi dan pandangan kanak-kanak. – MalaysiaGazette