Norhizam mengangkat tangan selepas memasukkan kertas undi ke dalampeti undi di Sekolah Rendah Agama JAIM, Taman Datuk Thamby Chik Karim di sini.

BATU BERENDAM – Calon bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee kecewa dengan proses pembuangan undi yang didakwa berjalan agak perlahan di Sekolah Rendah Agama JAIM, Taman Datuk Thamby Chik Karim di sini..

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “YB Viral” berkata, meskipun dalam norma baharu, proses pembuangan undi seharusnya berjalan dengan cepat dan pengundi tidak perlu beratur panjang seperti yang berlaku di sini.

“Saya sendiri terpaksa beratur hampir 20 minit di sini tadi untuk buang undi. Sepatutnya ia boleh dilakukan dengan cepat memandangkan situasi semasa yang tidak mengizinkan ketika.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu ambil perhatian dan segera bertindak dengan apa yang berlaku supaya tidak menyukarkan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini,” katanya kepada media selepas proses membuang undi di sekolah berkenaan sebentar tadi.

Norhizam berkata, SPR perlu menggunakan kaedah yang lebih pintar dalam menjalankan proses pembuangan undi seperti di bank-bank yang hanya menggunakan thumb print (pengimbas jari) untuk mengenalpasti pemilik cap jari.

Katanya, dengan cara itu pengundi tidak perlu beratur lama dan proses pengundian dapat dibuat dengan cepat, lancar dan teratur.

“Kita sekarang sudah berada dalam keadaan terkedepan semua guna sistem…jadi SPR kena buat seperti itu agar proses berjalan dengan lebih cepat,” ujarnya.

Terdahulu, Norhizam yang mengundi di saluran tiga bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang hadir berseorangan diri di sekolah tersebut dengan menaiki motosikal jenis skuter.

Beliau hadir dengan memakai baju kemeja warna hitam berbintik dan berseluar khakis tiba pukul 9.10 pagi dan selesai membuang undi pada pukul 9.40 pagi.

Norhizam yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka ‘menawan’ kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,756 dan dilantik sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan Negeri

Pada PRN Melaka, Norhizam berdepan pertembungan lima penjuru dengan calon muda Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN). – MalaysiaGazette