Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh(kiri) Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Ali (kanan) hadir pada sidang media mengenai sokongan kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu iaitu Datuk Seri Sulaiman Ali di Aqua D'Villa Masjid Tanah, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Raf Yusoh menepis  khabar angin dirinya dan ketua bahagian parti yang lain menolak Datuk Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri Melaka.

“Kami tidak ada masalah dan kami telah katakan kerjasama untuk menerima Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

“Saya tolak khabar angin bahawa kami menentang Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam sidang media di kediamannya malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka yang baru dilantik, Datuk Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, perkara itu turut disokong semua ketua-ketua bahagian UMNO Melaka.

“Semua kami ketua bahagian UMNO Melaka akan berikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dan memastikan bahawa kepercayaan yang diberikan oleh akar umbi,” katanya lagi.

Petang tadi, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman mengesahkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Jelasnya lagi, timbul gelora sebelum Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke 14 pukul 1 pagi tadi.

Hasan turut berkata, gelora tersebut difahamkan ada kaitan dengan Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam kira-kira pukul 12.58 tengah malam tadi dan dilangsungkan secara tertutup. – MalaysiaGazette