Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) di Bera, Pahang hari ini.

BERA – Menjelang tahun 2025, seluruh kawasan  termasuk di luar bandar dan pedalaman di negara ini bakal menikmati capaian internet 4G secara keseluruhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ketika ini kawasan di seluruh negara telah mendapat liputan internet 4G sebanyak 94 peratus.

“Sasaran 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G pada 2025. Kini kadar 31.34 mbps kelajuan jalur lebar mudah alih dan sasaran kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 100 mbps pada tahun 2025,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan bersama pihak swasta berbelanja sebanyak RM28 bilion apabila melancarkan Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) pada September lalu.

Melalui usahasama tersebut, kerajaan menyasarkan meningkatkan tahap liputan internet 4G kepada 96.6 peratus di seluruh negara pada hujung 2022.

Manakala liputan internet 5G pula akan dilancarkan pada Disember ini di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Cyberjaya.

“Di seluruh negara, kerajaan sasarkan 80 peratus kawasan akan mendapat liputan internet 5G pada 2026. Sehingga kini 6.42 juta premis telah menerima capaian gentian optik berbanding dengan sasaran 9 juta premis pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) di Bera hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli Parlimen Bera itu turut menyampaikan geran kepada lapan penerimapada sesi majlis penyerahan geran Rakan Digital.

Selain itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation (atau HDC) untuk program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

Selain itu, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan untuk inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar. -MalaysiaGazette