Dua lelaki yang dikehendaki sebagai suspek dalam kes dakwaan gadis dirogol dengan dicampurkan dadah dalam minumannya di sebuah hotel tampil serah diri di balai polis petang semalam.Gambar Ihsan Polis IPKKL

KUALA LUMPUR – Dua orang lelaki yang didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah hotel selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di sini pada Rabu lalu telah menyerah diri kepada polis semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, kedua-dua suspek terbabit telah tampil di Balai Putra Heights.

“Polis sebelum ini telah mempergiatkan usaha mengesan kedua-dua suspek itu, dan mereka yang berumur lingkungan 31 dan 38 tahun itu telah tampil menyerah diri kepada polis kira-kira pukul 6 petang pada Sabtu.

“Kini kami sedang menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh ke atas mereka untuk tindakan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu pada 20 November lalu, polis telah mempergiatkan usaha mengesan dua lelaki tempatan yang didakwa merogol seorang gadis selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di sini malam 17 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Satu ciapan dari akaun Twitter dipercayai kawan baik mangsa telah tular di media sosial dan mendakwa kedua-dua suspek sudah beberapa kali melakukan perbuatan terbabit terhadap beberapa wanita lain selepas memasukkan dadah dalam air minuman tanpa disedari mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias berkata, satu laporan polis diterima daripada mangsa pada 18 November lalu.

“Dalam laporan tersebut, mangsa berusia 19 tahun telah mendakwa kejadian berlaku pada 17 November 2021 lebih kurang pukul 9 malam dan mangsa bersama rakan-rakan sedang berhibur di sebuah kelab di ibu kota.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan mabuk dan dipercayai telah diberikan minuman yang disyaki mengandungi dadah.

“Mangsa kemudiannya dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota bersama seorang lagi rakan mangsa sebelum mangsa menyedari dirinya telah dirogol selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa,” katanya dalam kenyataan awal semalam.

Tambah Kamaruzaman, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.- MalaysiaGazette