Fairul Nizam Roslan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Teruja, itu ungkapan pertama daripada calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan setelah dimaklumkan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, malam ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka berkata, kemenangan itu memberi semangat untuk berkhidmat kepada rakyat, apatah lagi banyak isu ditinggalkan kepimpinan terdahulu.

“Teruja (dapat tahu menang) syukur Alhamdulillah saya berazam untuk terus bekerja.

“Saya juga memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana saya diberi mandat oleh rakyat malam ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan BN, di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka, Fairul Nizam berdepan pertandingan enam penjuru apabila ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Dalam saingan itu, Fairul Nizam memperoleh 4,939 undi, menang dengan majoriti 747 undi berbanding Idris memperoleh 4,192 undi.

Seorang lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN), B Dhanesh mendapat 3,879 undi dan tiga lagi calon Bebas yang turut bertanding gagal memberikan sebarang impak.

Dalam pada itu, Fairul Nizam mengakui banyak perkara perlu dilakukan untuk membangunkan DUN Asahan yang jauh ketinggalan berbanding kawasan lain.

“Banyak perkara perlu diselesaikan, membangunkan Asahan itu ada, Insya-Allah saya akan usahakan dengan rangka kerja yang terperinci, kalau tidak kelam kabut nanti.

“Kita perlu bentuk satu pasukan yang mantap dan kita akan terus bersama dengan rakyat di DUN Asahan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette