Calon PN N.02 Tanjung Bidara yang merupakan calon Ketua Menteri, Datuk Seri Mas Ermieyati beramah mesra selepas membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di SK Ramuan China Besar, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Kekalahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin keatas Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara mendapat perhatian veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Shahrir dengan nada sinis melahirkan rasa kasihan kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah itu yang antara bekas pemimpin UMNO pertama melompat parti.

“Kesian betul Mas Ermieyati. Selepas PRU-14, dia antara yang terawal melompat keluar dari UMNO dan menyertai PPBM (Bersatu).

“Mungkin, dari jadi ‘kluster mahkamah’ (kerana ada didakwa oleh Sarawak Report telah juga terima duit dari Datuk Seri Najib Razak), lebih baik jadi ‘katak politik’,” kata bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu hari ini.

Shahrir Abdul Samad

Mas Ermieyati yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN) tewas di tangan Ketua Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Rauf mendapat 3,558 undi manakala Mas Ermieyati memperolehi 3,195 sementara calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan mendapat 489 undi.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, kekalahan tipis Mas Ermieyati itu merupakan satu perkara yang ralat kerana jumlah majoriti yang dimenangi Rauf hanya 363 undi.

“Turun bertanding DUN Tanjung Bidara walaupun masih pegang jawatan timbalan menteri. Dinobatkan sebagai bakal Ketua Menteri Melaka kalau menang di kawasan DUN Tanjung Bidara dan PN menang besar PRN Melaka 2021.

“Dia tewas dengan perbezaan undi yang tidak melebihi 1, 000 pun. Ralatlah betul. Tapi pokoknya, BN menang semua DUN di kawasan parlimennya sendiri. Rupanya, taklah sehebat mana pun,” katanya lagi.

Lewat malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

BN juga berjaya merampas kerusi DUN Machap Jaya dan Gadek yang sebelum ini dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – MalaysiaGazette