Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meraikan kemenangan besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Command Centre Barisan Nasional , Ayer Keroh, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hari ini beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Melaka kerana memilih BN sebagai kerajaan baharu.

“Insya-Allah kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti.

“Tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan, Timbalan Pengerusi BN, presiden-presiden parti komponen BN dan seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan Barisan Nasional di Melaka,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Lewat malam tadi, BN diisytiharkan secara rasminya memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kemenangan besar BN itu mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang didokong beliau.

“Penghargaan juga buat mantan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.

“Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama – membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini.

“Terima kasih Keluarga Melaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette