Woei Tye (depan) dan Yang Wendy dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru, pagi tadi.
JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melepas dan membebaskan bekas pasangan kekasih atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, pada akhir pendakwaan.
Woei Tye yang merupakan jurujual telefon bimbit didakwa memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi seberat 2.78 gram.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama menghadapi tiga pertuduhan mengedar dadah jenis 3,4 MDMA seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.
Selain itu, kedua-dua secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis 3,4 MDMA seberat 40.14 gram.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini jam 6.45 petang, 12 November 2017.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, pasangan bekas kekasih itu dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd. Daud Ismail dan R.K. Menon.- MalaysiaGazette