Polis memeriksa kawasan perumahan pangsapuri selepas seorang kanak-kanak jatuh dari tingkat 16 di Batu Caves baru-baru ini.

BARU sahaja negara dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 29 kondominium di Jalan Ipoh pada 16 November 2021 yang lalu, kejadian sama berulang apabila kanak-kanak berusia lima tahun terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Batu Caves pada 17 November 2021. Amat mengejutkan kerana insiden yang menyayat hati ini berlaku secara berturut-turut. Kes yang sama telah berlaku pada Oktober 2021 melibatkan kematian kanak-kanak berumur 6 tahun setelah terjatuh dari bangunan hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Jika dilihat kronologi bagi ketiga-tiga insiden ini, kesemuanya adalah berpunca daripada kecuaian ibu bapa atau penjaga meninggalkan kanak-kanak terbabit tanpa pengawasan yang sewajarnya. Insiden yang berlaku ini amatlah menyedihkan. Dek kerana kecuaian yang disebabkan oleh ibu bapa atau penjaga, nyawa insan kecil yang bernilai ini telah melayang. Nyawa yang merupakan permata dan penentu masa depan negara. Negara kita baru sahaja menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia 2021 di bangunan Parlimen pada 17 November baru-baru ini.

Bersempena sambutan tersebut, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa Malaysia kekal komited memberi perlindungan kepada kanak-kanak terutamanya dari golongan rentan, mangsa penganiayaan kanak-kanak dan keganasan seksual serta keganasan rumah tangga. Hakikatnya, insiden yang berlaku ini telah mencalarkan komitmen kerajaan dalam melindungi kanak-kanak.

Menurutnya lagi, kita sebenarnya perlu berusaha lebih untuk melindungi kanak-kanak kerana ada di antara mereka yang bakal menjadi pemimpin hebat di masa akan datang. Tema Hari Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa iaitu “Investing Our Children Means Investing in Our Future” merupakan suatu manifestasi tanggungjawab kerajaan dan seluruh keluarga Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan kehidupan kanak-kanak pada hari ini dan pada masa hadapan. Diharapkan sambutan hari kanak-kanak sedunia ini bukanlah sekadar sambutan semata-mata, tetapi juga merupakan satu program advokasi bagi meningkatkan pemahaman kepada masyarakat terhadap hak-hak dan isu-isu yang dihadapi berkaitan kanak-kanak.

Sekiranya setiap ibu bapa dan masyarakat menghayati dan menjiwai tema hari kanak-kanak ini, maka insiden buruk sebegini tidak akan berlaku sewenang-wenangnya. Kanak-kanak kecil tidak seharusnya dibiarkan tanpa pengawasan. Hal ini kerana, mereka lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis situasi dan keadaan merbahaya yang boleh mengundang maut. Hal ini bukan sahaja melibatkan isu jatuh dari bangunan, malah turut melibatkan isu-isu lain yang melibatkan pengabaian kanak-kanak termasuklah pendedahan kepada peralatan yang tajam dan berbahaya, isu kesihatan dan pendidikan kanak-kanak.

Anak-anak merupakan kain putih, Ibu bapa atau penjagalah yang akan mencorakkannya.
Seharusnya ibu bapa perlu menjadi pelukis terbaik dalam mencorakkan kanvas kehidupan
anak-anak pada masa hadapan. Kebajikan anak-anak tidak seharusnya diabaikan. Hal ini
kerana, ia boleh menganggu gugat kesejahteraan kendiri anak-anak. Ibu bapa perlulah
sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan kesejahteraan kendiri anak-anak yang melibatkan elemen jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.

Sekiranya kesemua elemen ini dijaga dengan baik, ia dapat menjamin pembentukan modal insan yang holistik yang seterusnya mewarnai landskap pembangunan negara. Hal ini selaras dengan dasar kerajaan Malaysia yang berpegang teguh dengan matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda glo bal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam pembangunan negara dan mereka berhak untuk hidup dengan selamat serta gembira.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)