Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Mohamad Sabu membuat lawak dalam Dewan Rakyat tengah hari ini, dengan bangun meminta laluan untuk mencadangkan agar kerajaan memikirkan inisiatif dalam bentuk imbuhan kepada bekas-bekas Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, antara cadangan itu ialah memberi pampasan berjumlah RM1 bilion kepada bekas Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan.

“Pampasan berjumlah RM500 juta kepada bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Bapa Pembangunan dan cukuplah RM300 juta kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

“Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Bapa Pembangunan Moden yang berkhidmat selama 24 tahun (dua kali perdana menteri), kerajaan beri imbuhan sebanyak RM2 bilion, Tun Abdullah Ahmad Badawi RM100 juta dan Datuk Seri Najib Tun Razak RM100 juta.

“Biar negara bankrap pun tak apa, tapi yang penting imbuhan (diberikan) kepada pemimpin yang berkhidmat ini,” katanya.

Beliau merujuk isu permohonan Najib mendapatkan hartanah dan rumah di ibu kota yang dikatakan bernilai kira-kira RM100 juta.

Perkara itu didedahkan Dr. Mahathir pada hari akhir penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada petang Khamis lalu. – MalaysiaGazette