Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hadir pada sidang media mengenai sokongan kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu iaitu Datuk Seri Sulaiman Ali di Aqua D'Villa Masjid Tanah, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Datuk Sulaiman Md Ali berkata, tidak salah untuk beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu pada jam 1 pagi semalam

Sulaiman berkata, perkara itu dibuat bagi menyegerakan tugas beliau sebagai Ketua Menteri Melaka dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

“Saya angkat sumpah (jawatan ketua menteri) awal pagi tadi sebab esok saya ada pra mesyuarat untuk majlis Raja-raja dan lusa saya ada mesyuarat di istana serta mesyuarat menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri, Rabu saya ada mesyuarat majlis Raja-raja seterusnya perbentangan Bajet 2022.

“Selepas itu nak bentuk barisan Exco, jadi tidak salahnya apa yang dilakukan awal pagi Ahad sebab kita nak segerakan supaya saya boleh menjalankan tugas lebih awal,” katanya dalam sidang media di kediaman Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh lewat malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri, malam tadi.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam pada jam 12.58 tengah malam semalam dan dilangsungkan secara tertutup.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya mengenai kriteria pelantikan barisan Exco, Sulaiman berkata, perkara itu akan ditapis mengikut kelayakan dan pengalaman barisan exconya kelak.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, barisan Exco negeri Melaka yang baharu akan merangkumi ADUN daripada pelbagai lapisan umur.

“Akan ada kombinasi (barisan Exco) dan kita akan lihat latar belakang seseorang, pendidikan dan kepakaran beliau, ini selaras dengan kedudukan portfolio mereka sekali gus membolehkan mereka menjalankan tugas dan memastikan manifesto kita dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Barisan Nasional (BN) berjaya menubuhkan Kerajaan Melaka yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menguasai 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN.

Manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – MalaysiaGazette