The second phase payment for the Bantuan Khas Covid-19 (BKC) cash aid will be made beginning 25 November 2021 (Thursday)

KUALA LUMPUR – Pembayaran Fasa 2 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat mulai 25 November 2021 (Khamis) dengan peruntukan RM300 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran kedua ini akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

Bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank.

Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, mereka boleh membuat pengeluaran dari cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

”Kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

”Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC https://bkc.hasil.gov.my.

Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada bulan Disember 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19. – MalaysiaGazette