Enam individu termasuk dua remaja menghadapi tuduhan dan bersubahat membunuh seorang ah long diiringi anggota polis ketika di Mahkamah Majistret Klang. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2021.

KLANG – Enam individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang ah long di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, awal November lalu.

Tertuduh, Tan Ah Chai, Yeo Ching Lian, Lau Zi Hui dan Yap Soon Kuan kelihatan mengangguk kepala dan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dibacakan di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

Kesemua empat suspek tersebut yang berusia 18 hingga 36 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302/34 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua lagi tertuduh, Gan Kok Shang, 43 dan Tan Yong Seng, 38, menghadapi pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua enam individu terbabit, hari ini.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua seksyen berkenaan berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

Empat tertuduh iaitu Tan Ah Chai, Lau Zi Hui, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng diwakili peguam Lim Chee Chau.

Sementara Yeo Ching Lian pula diwakili peguam Ng Li Kian dan Yap Soon Kuan pula diwakili Helen Fong.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya, Nur’ain Madihah Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan forensik daripada pihak berkuasa, selewat-lewatnya 31 Januari 2022.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari 2022.

Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ah long ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam yang terletak di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

Rentetan kejadian itu, polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan tersebut.

Salah faham dan dendam lama sesama ahli Kongsi Gelap Geng 24 merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek.

Tangkapan suspek dilakukan di Muar dan Segamat. Johor.

Selain itu, polis turut merampas barang kes termasuk pakaian dan kereta yang digunakan suspek semasa dan selepas kejadian. – MalaysiaGazette