Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) bergambar kenangan dengan pemain-pemain pasukan Todak dan Team SMG sebelum berlepas ke Singapura untuk menyertai kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M3 World Championship di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Dua pasukan organisasi e-sukan dari Malaysia iaitu Team SMG dan Todak berlepas ke Singapura untuk bertarung di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M3, Disember depan.

Kedua-dua pasukan Team SMG dan Todak sebelum ini merupakan juara dan naib juara bagi pertandingan Mobile Legends: Liga Profesional Malaysia (MPL MY) musim kelapan.

Kejohanan peringkat dunia M3 kali ini bakal mengumpulkan 16 buah pasukan yang akan bertarung untuk merebut gelaran juara dan hadiah lumayan terkumpul sebanyak AS$800,000 (RM3.3 juta).

Pasukan terbabit yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini diiringi oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Ahmad Faizal, beliau merasa amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menghantar dua pasukan profesional e-sukan itu untuk bertarung dalam kejohanan dunia.

“Pasukan ini adalah pasukan kuat dan mantap yang akan mewakili negara ke kejohanan yang bakal mengumpulkan lebih 14 buah negara.

“Kita dapati ada pasukan dari Filipina dan Indonesia yang akan memberi saingan sengit kepada kita namun saya meletakkan sasaran agar dua pasukan ini dapat melangkah ke peringkat akhir dan menang di kejohanan.

“Apa yang paling penting adalah mereka dapat membawa nama baik negara dan mempopularkan lagi e-sukan ini dalam kalangan rakyat. Saya juga berharap selepas ini lebih ramai pemain dapat kita tampilkan mewakili negara ke kejohanan dunia,” katanya. – MalaysiaGazette