Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM101 bilion melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra tidak akan menjejaskan pasaran kewangan domestik berikutan kedudukannya sebagai antara pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pengeluaran tersebut juga tidak memberi impak negatif ke atas pelaburan MGS.

“Malah, langkah seperti kaedah Alokasi Aset Strategik (SAA) sedang dilakukan bagi menampung segala pengeluaran yang dibuat sepanjang tempoh terbabit.

“Kerajaan juga akan terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya,” katanya pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mengenai pelan strategi Kementerian Kewangan untuk menyokong jaminan keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil berikutan kebenaran pengeluaran pelbagai skim KWSP.

Pada 31 Oktober lalu, KWSP dalam satu kenyataan menyatakan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahlinya atau menyamai lebih separuh daripada ahli dana persaraan itu.

Mohd Shahar berkata, inisiatif lain yang diperkenalkan termasuk yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 mengenai pengeluaran baharu untuk ahli membeli produk insurans atau takaful yang dijangka memberi manfaat perlindungan diri dan keluarga pencarum. – MalaysiaGazette