Sebahagian daripada peneroka Ladang Tennamaram Mukim Bestari Jaya yang membantah hasrat kerajaan negeri memajakkan kawasan mereka kepada syarikat luar negara.

KUALA SELANGOR – Walaupun rundingan isu pajakan di antara lebih 400 peneroka Ladang Tennamaram (Kg Tanjong Pasir) Mukim Bestari Jaya dengan pihak berkuasa setempat, namun pemaju didakwa tidak menghiraukan arahan.

Ini kerana, pemaju dari dua syarikat yang telah diberikan pajakan selama 21 tahun itu telah membawa masuk dua jengkaut untuk membuat jalan di ladang tersebut.

Seorang peneroka, Musa Ahmad, 78, berkata, dia sungguh kecewa kerana isu pemilikan tanah peneroka dengan pemaju yang masih di meja rundingan oleh kerajaan negeri di pandang sepi.

“Kita memang kecewa, sudahlah syarikat pemaju ini dari Sarawak yang diberikan pajakan 21 tahun walhal kita anak tempatan, anak Selangor yang juga pengundi untuk kerajaan negeri ini pula tidak langsung dipedulikan.

“Apabila kita membuat bising, apabila kita luah perasaan, kerajaan negeri kata sedia berunding tetapi pemaju seperti ada kekebalan untuk terus lakukan kerja-kerja mereka.

”Jengkaut yang mereka bawa masuk boleh musnahkan hasil pertanian kita,” katanya sambil mengakui peneroka di tanah berkenaan semakin hilang sabar dengan pihak yang cuba bermain tarik tali ini.

Lantaran itu, katanya, para peneroka meminta Menteri Besar siasat isu ini.

Musa berkata demikian selepas membuat laporan polis beramai-ramai sejurus selepas pemaju membawa masuk jengkaut masuk ke dalam kawasan ladang awal pagi ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peneroka juga menyoal kerajaan negeri mengapakah masih terdapat kelewatan dalam menyiasat isu pajakan yang telah diberikan kepada dua syarikat Sarawak yang pemiliknya adalah orang yang sama.

Kata V Jayaraman, kerajaan negeri telah berjanji untuk menyiasat lebih tujuh bulan lepas namun masih lagi tidak ada tindakan pantas hingga menyebabkan peneroka dan pemaju terus bertelagah sehingga hari ini.

“Pada April tahun ini, kami membangkitkan isu ini dengan mengadakan protes.  Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli pada 9 April memberitahu kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan satu siasatan dalaman dan semakan terperinci sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

“Sudah lebih tujuh bulan. Di mana hasil siasatan? Tolonglah jangan buat kami begini lagi, sudah lama kami bersabar, kami telah meneroka ladang lebih tiga generasi, sinilah tempat kami,” ujarnya.

Para peneroka kecewa dengan isu pemilikan tanah Ladang Tennamaram di Mukim Bestari Jaya.

Penempatan yang juga terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Parlimen Tanjong Karang itu mula diteroka oleh sekumpulan penduduk untuk aktiviti pertanian sejak tahun 1967 dan ia merupakan tanah rizab Kerajaan Negeri Selangor.

Kira-kira 60 peratus penduduk adalah kaum bumiputera manakala 40 peratus bukan bumiputera.

Sejak bertahun-tahun penduduk terbabit berjuang mendapatkan hak pemilikan penempatan namun mendakwa janji yang ditabur oleh pemimpin politik hanya tinggal janji.

Akhirnya mereka terkejut selepas mendapat tahu tanah yang telah diusahakan lebih tiga generasi itu akhirnya dipajakkan kepada ‘orang luar’ selama 21 tahun.

Sebelum ini juga, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pernah mempersoalkan bagaimana dua buah syarikat diberikan pajakan tanah selama 21 tahun dan mahu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -MalaysiaGazette

Peneroka Ladang Tanjong Pasir minta MB campur tangan selesai isu pemilikan tanah

Noh persoal syarikat dua bulan diberi pajakan tanah 21 tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast