Sharifah Azizah Syed Zain
ISKANDAR PUTERI – Hab pelancongan antarabangsa kawasan Desaru di Bandar Penawar, Kota Tinggi, perlu diperluaskan meliputi  kawasan kampung tradisi dan kampung Orang Asli di bahagian Barat kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, ini kerana kampung-kampung yang terletak di barat Bandar Penawar mempunyai potensi besar kerana ekosistemnya berteluk.
“Kawasan Barat Bandar Penawar di Kota Tinggi yang menempatkan kampung tradisi iaitu Tanjung Buai dan Kampung Orang Asli Sungai Layau 2 sebenarnya memiliki khazanah istimewa dengan ekosistem semulajadi Sungai Johor yang indah.
“Kawasan itu mempunyai keunikan dan keindahan yang tidak kalah dengan kawasan Desaru dan amat sesuai dibangunkan eko pelancongan,” katanya.
Keistimewaannya itu mampu menjadikan Bandar Penawar sebagai produk pelancongan lebih lengkap dan menyeluruh.
Di Kampung Orang Asli Sungai Layau 2, contohnya sudah ada Muzium Orang Asli yang mampu tarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa belajar budaya hidup masyarakat itu.
Apatah lagi ia terletak berhadapan Sungai Johor yang indah.
Oleh itu, kerajaan negeri diharap dapat membina lebih banyak prasarana termasuk rumah rakit bagi memberi peluang mengunjungi menghayati eko pelancongan di kawasan itu.
Selain itu, gerai juga perlu dibina bagi memberi peluang penduduk tempatan memasarkan hasil tempatan termasuk makanan dan cenderemata sekali gus boleh dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri, katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Belanjawan Johor 2022,  pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14,  di sini, hari ini.
Sharifah Azizah berkata, perluasan kawasan pelancongan turut memberi peluang pekerjaan kepada anak dan penduduk tempatan di kawasan Bandar Penawar.
“Kita tidak mahu hanya kawasan Desaru sahaja diberi perhatian sedangkan kawasan di barat tidak kurang memiliki keistimewaan yang tidak pernah ditonjolkan,” katanya.- MalaysiaGazette