Ismail Sabri Yaakob ketika hadir mempengerusi Mesyuarat Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri Kali Ke-137.

KUALA LUMPUR – Semua kerajaan negeri diminta menyegerakan pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

”Melalui pendekatan Keluarga Malaysia juga, saya telah menyeru semua pihak untuk mengetepikan latar belakang serta fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19 serta memulihkan ekonomi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137.

Dalam mesyuarat itu juga, beliau turut membincangkan tentang usaha bersama kerajaan pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulih kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang tahun 2030.

Katanya, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

Pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air.

Bagi tujuan penyelarasan inisiatif digital di peringkat negeri dan persekutuan, pula kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) dan ia akan turut meneliti caj dan fi perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi yang tinggi dan membebankan rakyat.

Dalam mesyuarat tersebut, semua menteri besar dan ketua menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri
(PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri. – MalaysiaGazette