Pasukan bomba Sungai Pinang sedang berusaha mengeluarkan mayat wanita yang tersepit dalam kereta yang terbabas dan tenggelam dalam parit semasa kemalangan awal pagi tadi di Bandar Bukit Raja, Klang.Gambar Ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita meninggal dunia akibat tersepit apabila kenderaan yang dinaikinya terbabas dan tenggelam dalam parit di Jalan Sungai Puloh, Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.23 pagi mengerahkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba ke lokasi kejadian jam 2.34 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) model Nissan Serena terbabas dan masuk ke dalam parit.

Pasukan bomba Sungai Pinang telah mengeluarkan mayat wanita tempatan berusia 35 tahun yang tersepit dalam kereta yang terbabas dan tenggelam dalam parit semasa kemalangan awal pagi tadi di Bandar Bukit Raja, Klang.Gambar Ihsan Bomba Selangor.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu juga terdapat dua orang mangsa terperangkap iaitu seorang mangsa wanita tempatan berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang turut tiba ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seorang lagi mangsa lelaki berusia 38 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kerja-kerja penyelamatan mangsa telah mengambil masa hampir 30 minit kerana kenderaan yang dipandunya berada di dalam parit dan sudah tenggelam.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan kemudian,” ujarnya.-MalaysiaGazette