Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop (tengah) bersama Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir kilat, Kamaliyah Abdul Aziz (kanan) di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

AMPANG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan bantuan berupa keperluan barangan asas kepada 70 keluarga mangsa banjir kilat di Bukit Belacan, Lembah Jaya, Ampang.

Penyampaian bantuan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam satu program turun padang.

Menurut Saipolyazan, pada masa ini LZS sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat, namun ia  bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terlibat dengan musibah banjir ini, boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada penolong amil kariah agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka.

“Mangsa banjir terlibat di sini seramai 400 dan 220 sudah mendaftar dengan LZS untuk memohon bantuan sewajarnya dan kita akan melakukan semakan silang serta membantu mengikut kelayakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan dan menyantuni sebahagian mangsa banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

Saipolyazan menambah, LZS akan melakukan bancian seterusnya sekiranya ia melibatkan fakir atau miskin, yang mana lembaga itu akan membantu jika terdapat keperluan untuk membaiki rumah dan sebagainya.

“Jika mereka tidak tergolong fakir miskin dalam LZS, kita akan beri bantuan dalam bentuk lain antaranya kewangan sebanyak RM600 bagi satu rumah.

“Hari ini kita mulakan dengan bantuan kering, dan jika berlaku kerosakan dan memerlukan pembaikan rumah mereka, kita akan mengambil kontraktor yang boleh buat anggaran kerosakan dan membayar mengikut kadar yang diluluskan oleh LZS.

“Kerosakan rumah yang boleh dibaiki oleh LZS sehingga maksimum RM71,000,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Mat Yusop (tengah) bersama Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kiri) menyantuni salah seorang mangsa banjir kilat, (kanan) Muhammad Affiq Mustaqim (kanan) selepas menyampaikan sumbangan di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

Pada Isnin lalu, beberapa kawasan di Ampang terutama Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan dilanda banjir kilat yang mengakibatkan beberapa buah rumah serta kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam lawatannya berkata, banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya di kawasan berhampiran, yang mengakibatkan tanah lumpur memasuki sungai dan saliran air.

Beliau berkata, tanah dan lumpur daripada projek pembinaan itu terkumpul di dalam longkang dan sungai mengakibatkan saliran menjadi cetek lalu menyebabkan banjir. – MalaysiaGazette

Penduduk masih melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah mereka yang dimasuki air berikutan kejadian banjir kilat yang melanda pada Isnin lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021