Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainudin berjalan keluar selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (PPBM) di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu merupakan antara perkara yang dibincangkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum parti itu boleh mengorak langkah dan menyertai pilihan raya seterusnya selepas ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat khas hampir lima jam itu perlu mengambil kira dapatan dan analisis banyak pihak khususnya kedudukan Perikatan Nasional (PN) di Melaka.

“Kita tengok kedudukan kita di Melaka sebenarnya dan dengan apa yang patut kita buat, bergerak ke hadapan selepas ini.

“Itu yang kita berikan keutamaan dalam mesyuarat tadi,” katanya kepada pemberita di lobi Glenmarie Hotel & Golf Resort, di sini, hari ini.

Pada 20 November lalu, PN yang bertanding 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hanya memenangi dua kerusi iaitu N11 Sungai Udang melalui calonnya, Dr Mohd Aleef Yusof dan N24 Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Dalam pada itu, Hamzah memberi bayangan bahawa PN sedang berkira-kira untuk meletakkan calonnya dalam PRN Sarawak pada 18 Disember depan.

“Dia bukan hanya Sarawak (PRN), ia melibatkan banyak perkara lain.

“Mesyuarat khas semata-mata untuk mengkaji semula analisa yang kita dapat daripada banyak pihak,” katanya. – MalaysiaGazette