Timbalan Menteri Kewangan I, Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen “Cashless Boleh” dan Sijil Pengiktirafan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100% e-Pembayaran tahun 2021 bertempat di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan hari ini.

KUALA LUMPUR – Kempen ‘Cashless Boleh’ dianggap inisiatif selaras aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Menurutnya, MyDigital menggariskan pelbagai strategi untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing termasuklah transformasi kepada cashless society.

Tambahnya, dengan kadar internet penetration setiap isi rumah yang kini melebihi 90 peratus dan dijangka akan terus meningkat dengan pelaksanaan inisiatif MyJendala, usaha mendigitaliasikan perkhidmatan kerajaan serta pelaksanaan pembayaran secara dalam talian seharusnya seiring dengan perkhidmatan ditawarkan swasta.

Agensi-agensi kerajaan perlu terus inovatif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan teknologi yang terkini, kata satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Shahar telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen “Cashless Boleh” dan Sijil Pengiktirafan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100 peratus e-Pembayaran tahun 2021 bertempat di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan hari ini.

Kempen melibatkan sejumlah 14 agensi kerajaan berlangsung dari 1 November 2020 hingga 30 Jun lalu dengan menawarkan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah kepada para pembayar yang membuat pembayaran menggunakan mana-mana kaedah pembayaran tanpa tunai sama ada secara kad ATM MyDebit, FPX, JomPAY atau DirectDebit di agensi-agensi yang mengambil bahagian.

Kempen ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran atau pun tanpa tunai dalam kalangan orang awam, sebagai kaedah pembayaran utama di negara kita.

“Selain itu, kempen ini turut membantu migrasi Agensi Kerajaan
Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan ke arah mencapai kutipan pembayaran 100 peratus tanpa tunai.

“Susulan daripada kempen ‘Cashless Boleh’ yang memberangsangkan, PayNet sekali berhasrat untuk menganjurkan edisi baharu kempen ‘Cashless Boleh’ yang dijangka akan berlangsung selama enam bulan bermula dari
Disember 2021 dengan pelbagai hadiah menarik menanti pengguna epembayaran yang bertuah,” katanya dalam kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette