Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,602 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut kini seramai 2,510,029 orang.

Menurutnya, seramai 516 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 443 kes disahkan positif Covid-19 manakala 73 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 272 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 157 kes positif Covid-19 sementara 115 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (6,144 kes) sebanyak 96 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 6,048 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan harian, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 12 kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes import manakala 6,132 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 5,862 warganegara dan 270 bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak tujuh kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,913 kluster.

Katanya, sejumlah 5,678 kluster telah ditamatkan manakala 235 kluster lagi masih aktif.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.99.

Jelas beliau, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan nilai Rt 1.18, Putrajaya (1.12), Kuala Lumpur (1.05) manakala Selangor (1.04).

Mengulas lanjut, beliau berkata, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemaskini pada pukul 12 tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette