Pekerja membawa beberapa roti yang telah siap diproses di Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, Puchong Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd menyemak semula harga bagi produk-produk mereka berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pengurusan Gardenia KL dalam satu kenyataan berkata, semakan harga ini dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah iaitu tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan.

Menurut Gardenia KL, mereka amat terkesan akibat cabaran-cabaran ini dan telah berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah selama ini.

“Namun begitu, peningkatan ketara dalam kos-kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan kami, telah meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga bagi produk-produk Gardenia berkuat kuasa 1 Disember.

“Semakan harga ini melibatkan produk-produk dalam keadaan tertentu yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classic.

“Harga produk lain yang disemak semula juga meliputi rangkaian Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia NuMee,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Gardenia KL juga akan terus memberi tumpuan menggiatkan usaha untuk mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang.

Tambahnya, kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu.

“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan selama ini dan berharap anda memahami keputusan sukar yang terpaksa kami laksanakan.

“Walaupun dengan segala cabaran yang dihadapi sepanjang pandemik Covid-19, Gardenia KL terus memenuhi komitmen kepada pengguna setiap hari tidak kira hujan atau panas.

“Kami juga akan terus berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan untuk menjamin bekalan optimum dan harga berpatutan bagi produk-produk kami di Malaysia,” katanya.

Senarai harga produk Gardenia yang tular di media sosial.

Terdahulu menerusi senarai harga yang tular di media sosial, sebanyak 38 produk tersenarai dan akan mula dijual pada harga baharu bermula dari tarikh tersebut. – MalaysiaGazette