Cha Kee Chin menunjukkan baju Keluarga Malaysia "Made in Bangladesh" dalam sesi perbahasan Bajet 2022 KPDNHEP.

KUALA LUMPUR – Baju Keluarga Malaysia “Made in Bangladesh” menceriakan perbahasan Bajet 2022 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) petang ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang menyatakan rasa kecewanya dengan kerajaan, seolah membelakangkan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Kata beliau, kempen itu dilancar dari zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi dan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan sekarang Keluarga Malaysia.

“Saya nak sebut di sini, ini baju (bertulis Keluarga Malaysia) kami semua dapat dua hari lalu.. baju Keluarga Malaysia, kualitinya baik… saya malam tadi cuba nak pakai, memang bagus.

“Cuma saya nak nyatakan satu kekecewaan, saya minta maaflah, baju ini saya tetap akan pakai, tetapi saya nampak satu kekecewaan… di mana? kat belakang baju ini tulis “Made in Bangladesh”

“Baju Keluarga Malaysia, tertera gambar Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) iaitu sahabat saya ada di baju ini. Ini yang kita nak dokong? Bila pula Keluarga Malaysia barangannya buatan Bangladesh?,” soal beliau ketika membahas Bajet 2022 KPDNHEP di Parlimen, petang ini.

Katanya, amat malang sekali, dalam semua pihak berusaha untuk membina sosioekonomi rakyat dengan menghasilkan produk tempatan, kerajaan pula membeli baju “Made in Bangladesh”.

“Saya bukan anti mana-mana negara, saya minta maaf ya.. jangan nanti kata YB Rasah ini anti mana-mana negara. Bagi saya tak kira negara mana, Nepal ke, Monggolia ke, Vietnam ke, Bangladesh ke, kita nak barangan buatan Malaysia,” tegasnya.

Justeru, beliau minta KPDNHEP boleh mengutarakan masalah itu dalam Mesyuarat Kabinet supaya kerajaan membuat garis panduan tegas agar semua produk yang dibeli dengan dana kerajaan, beli barangan buatan Malaysia.

Difahamkan, baju berwarna putih itu diedarkan kepada semua Ahli Parlimen dua hari lalu untuk dipakai pada hari pelancaran Keluarga Malaysia pada hujung minggu ini. – MalaysiaGazette