Johor merancang mengadakan kempen pendaftaran Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini pada awal tahun depan.- Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Johor merancang mengadakan kempen pendaftaran Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini pada awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, ia bagi mengesan dan meningkatkan lagi pendaftaran OKU yang masih belum berbuat demikian supaya bantuan dapat disalurkan selain memperkasakan golongan berkenaan.

Mengikut data Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) seramai 68,120 OKU berdaftar di Johor setakat bulan ini, katanya.

Zaiton Ismail.

“Kerajaan Johor menerusi  JKM Johor sentiasa mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang juga kumpulan sasaran yang sentiasa diberi perhatian,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini hari ini.

Zulkurnain ingin tahu berapa jumlah terkini golongan OKU di Johor serta perancangan kerajaan negeri membantu golongan berkenaan.

Zaiton yang ADUN Sungai Balang berkata, kerajaan negeri juga akan mempromosi permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian menerusi Program MyDaftar OKU.

Katanya, ia bagi mempermudahkan lagi pendaftaran OKU dijalankan khususnya bagi mereka tidak berkeupayaan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

“Jabatan Pembangunan OKU, JKM Putrajaya dan Johor juga sedang menambahbaik Garis Panduan Pengoperasian bagi memantapkan Pengurusan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

“Garis panduan ini merangkumi dari segi latihan dan pemulihan yang akan diberikan kepada kanak-kanak OKU yang menjalani pemulihan di PDK.

“Di samping itu, program pemulihan kepada pelatih PDK juga akan dimantapkan melalui Rancangan Pembelajaran Individu (RPI) mengikut norma baharu dan SOP pencegahan dan kawalan penyakit Covid-19,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast